Monday, 6 January 2014

Exco Agama dibidas cuba lepas tangan

SHAH ALAM, AHAD, 05 Januari, 2013: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi dibidas kerana cuba lepas tangan dalam isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia, Khamis lalu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Shahroni Jodi berkata, alasan tidak tahu dengan serbuan itu kerana tidak dimaklumkan oleh JAIS hanya menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab atau sengaja tidak mahu ambil tahu tentang hal ehwal Islam di negeri ini.

Menurutnya, sebagai Exco Agama, Sallehen sepatutnya mempunyai sikap ambil tahu dan sentiasa berhubung dengan JAIS dalam segala tindakan atau permasalahan yang timbul.

"Sebagai Exco Agama juga, beliau sepatutnya mempertahankan tindakan JAIS kerana dilakukan berlandaskan Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 dan tidak melanggar undang-undang.

"Ini hanya menunjukkan kelemahan kepemimpinannya dan kecetekan ilmu beliau tentang undang-undang Islam negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut menyuarakan sokongan penuh kepada JAIS atas tindakan yang telah diambil dalam menegakkan syiar Islam.

"Kami mahu JAIS terus melancarkan serbuan ke atas gereja yang melanggar undang-undang negeri Selangor," tambahnya.

JAIS baru-baru ini merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Serbuan tersebut susulan kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Salehen seperti dilaporkan sebuah portal berita pula memberitahu, kerajaan negeri tidak mengarahkan JAIS melakukan serbuan berkenaan.

Beliau berkata, JAIS juga tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung serbuan tersebut dan hanya mengetahuinya selepas tindakan berkenaan dibuat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment