Monday, 6 January 2014

Lelaki paling dikendaki polis didakwa

KOTA BHARU, AHAD, 05 Januari, 2013: Seorang lelaki yang menjadi buruan polis sejak lebih setahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan mencederakan dua lelaki sehingga parah dalam kes berasingan pada tahun 2011 dan 2012.

Mohd. Nurfino Omar atau lebih dikenali dengan 'Fino', 31, membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.

Bagi tuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan pengusaha hotel, Abdul Aziz Dollah, 50, cedera parah menggunakan parang.

Tertuduh yang merupakan pengusaha perniagaan cuci kereta, didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang yang masih bebas di antara pukul 1.30 hingga 3 petang, 19 jun 2011 di Hotel Sri Cemerlang Baru Lounge, Jalan Sri Cemerlang di sini.

Untuk tuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan penjaga bot, Mohd. Khaidzir Hanafi, 33, cedera parah menggunakan parang dan cecair asid.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama tiga orang yang masih bebas di sebuah rumah di Kampung Padang Purut, Nilam Puri di sini di antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi pada 13 Februari 2012.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pada 26 Disember lalu, seorang penjenayah yang diburu sejak lebih setahun lalu kerana terlibat dalam kes menetak dan menyimbah asid terhadap seorang penjaga bot di Nilam Puri dekat sini, Februari tahun lalu, akhirnya diberkas polis di Ipoh, Perak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Mohd. Nurfino Omar, diberkas oleh sekumpulan anggota polis di hadapan sebuah pasar raya di Ipoh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat memohon kepada mahkamah supaya suspek tidak diberikan jaminan kerana bimbang dia akan mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam, Latifah Ariffin yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dilepaskan dengan jaminan bersyarat dengan alasan lelaki tersebut tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tertuduh turut diwakili peguam, Mohd. Rafizi Abdullah.

Hakim Mohd. Yusoff bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Februari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment