Friday, 17 January 2014

Lebih 200,000 penganut Hindu sambut Thaipusam di Pulau Pinang

GEORGETOWN, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Lebih 200,000 penganut Hindu bertumpu di kuil-kuil di sepanjang Jalan Kebun Bunga dan Jalan Air Terjun di sini untuk sambutan Thaipusam dengan membawa kavadi.

Mereka membanjiri sepanjang jalan utama menuju ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit. Sambutan itu juga menarik minat pelancong yang tidak melepaskan peluang menyaksikannya.

Sehingga 12.30 tengah hari sekitar kawasan itu sesak dengan penganut Hindu yang melakukan pelbagai upacara keagamaan membayar nazar seperti menjunjung periuk susu 'pal koodam' dan jumlah pengunjung dijangka bertambah sehingga lewat malam ini.

Seorang pengunjung P.Prakash, 36, dari Kepala Batas berkata, beliau dan isteri I. Suruthi, 36, serta anak lelaki kembar mereka Kugaran dan Kumaran berusia lapan tahun tiba kira-kira 7 pagi.

"Setiap tahun saya ke sini bersama keluarga dan kami turut membotakkan kepala bagi memohon keselamatan dan kesihatan sekeluarga," katanya kepada Bernama.

Ian Johnson, 41, pelancong dari London turut tidak melepaskan peluang menyertai ribuan penganut Hindu mendaki 276 anak tangga menuju kuil itu sambil merakam gambar dan video bagi merasai sendiri kemeriahan perayaan Thaipusam.

"Sambutan yang sungguh mengagumkan. Ini pertama kali saya menyaksikan sambutan Thaipusam dan saya akan berkongsi foto dan video dalam blog saya dan akan bercerita kepada pelajar saya mengenainya," kata guru sekolah tinggi itu.

Di IPOH, beribu-ribu penganut agama Hindu membanjiri Kuil Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheroh berhampiran Bandar Ipoh Raya di sini sejak petang semalam bagi menyambut Thaipusam.

Selain terdapat penganut yang mencukur rambut sebagai membayar nazar, ada juga berjalan kaki membawa belanga berisi susu serta membawa Kavadi dengan pelbagai rekaan dan hiasan untuk memenuhi niat atau meminta rahmat masing-masing.

Suasana di kawasan kuil seumpama festival dengan dimeriahkan pelbagai gerai jualan pakaian, permainan, makanan dan minuman di samping beberapa gerai pihak penaja menawarkan minuman percuma.

Bagi mengawal keselamatan orang ramai, polis menempatkan sejumlah anggota dan Balai Polis Bergerak di kawasan berkenaan selain dibantu pasukan Jabatan Sukarelawan (Rela) sejak tiga hari lepas sehingga perayaan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment