Tuesday, 7 January 2014

MB Selangor didesak tegas pertahan Islam

 * SEBAHAGIAN ahli H2O mengadakan bantahan aman selepas membuat laporan polis terhadap kenyataan Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah Allah di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM, ISNIN, 06 Januari, 2014: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hishammuddin Tun Hussein (H20) menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih tegas dalam memartabatkan Islam di negeri ini.

Pengerusinya, Ahmad Suhairi Ahmad Hariri berkata, gesaan itu dibuat kerana kerajaan negeri dilihat tidak serius dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang mewakili majoriti rakyat Islam, Abdul Khalid sepatutnya sama berjuang mempertahankan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.

"Malangnya dalam masalah ini tindakan JAIS yang membuat serbuan berlandaskan undang-undang Islam negeri pula dipersoalkan dan kerajaan negeri menuntut agensi itu menghantar laporan berhubung tindakan tersebut.

"Mereka sepatutnya mempertahankan tindakan itu ketika JAIS dikecam hebat oleh pelbagai pihak dan digambarkan sebagai melampau oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis dan bantahan secara aman di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Laporan itu dibuat berhubung kenyataan Paderi Lawrence Andrew yang mahu gereja di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Ahmad Suhairi yang juga Pengerusi Biro Guaman dan Pengaduan UMNO Selangor berkata, mereka juga akan menghantar memorandum kepada Abdul Khalid dalam tempoh terdekat bagi menggesa tindakan segera diambil untuk mengelak isu berkenaan berlarutan dan merosakkan keharmonian negeri ini.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan kepimpinan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi yang sebelum ini memberi alasan tidak tahu mengenai serbuan tersebut.

"Sebagai Exco Agama, beliau sepatutnya tahu tentang aktiviti agensi di bawah bidang kuasanya dan juga mengambil sikap bertanggungjawab atas apa yang berlaku," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment