Tuesday, 7 January 2014

Malaysia mampu capai 50 emas di Sukan Para ASEAN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 06 Januari, 2014: Malaysia yakin mampu mencapai sasaran 50 pingat emas serta mengekalkan kedudukan antara tiga negara terbaik pada temasya Sukan Para ASEAN di Naypyitaw, Myanmar, dari 14 hingga 20 Januari ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi atlet paralimpik negara yang tidak pernah mengecewakan ketika bertanding dalam mana-mana temasya sukan sebelum ini.

Sukan Para ASEAN diadakan selepas edisi ke-27 Sukan SEA Myanmar dari 11 hingga 22 Disember lepas.

Zainal, yang juga Presiden Majlis Paralimpik Asia (APC), berkata, kontinjen negara sudah memulakan latihan pusat di Ptrajaya semalam dan akan bertolak ke Myanmar pada 12 Januari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara APC dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asia 2014 Incheon, Korea Selatan (IAPGOC) di sini hari ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment