Tuesday, 14 January 2014

Projek PKFZ: Kong Choy dibebaskan tipu bekas PM

Oleh SUWARNI MOKHTAR dan NORAZLITA MOHD. SIES
 
* CHAN Kong Choy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Januari, 2014: Selepas hampir empat tahun didakwa menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy boleh tersenyum apabila beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Ini berikutan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa ketiga-tiga pertuduhan terhadap Kong Choy ditarik balik selepas meneliti surat representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada 20 Mac tahun lalu.

Tindakan menarik semula tuduhan-tuduhan terbabit juga dibuat selepas pihak pendakwaan mengambil kira, menghalusi dan meneliti keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan kes seorang lagi bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Antara saksi dalam perbicaraan terbabit ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn.

Pembebasan Kong Choy, 58, dimaklumkan kepada pihak media oleh peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan selepas kes itu disebut di kamar Hakim Datuk Zamzani Abdul Rahim.

Terdahulu, para penyokong bekas menteri Kabinet itu dilihat bertepuk tangan selepas peguam terbabit memberitahu mereka mengenai penarikan balik pertuduhan itu.

Kesemua mereka termasuk Kong Choy bagaimanapun terus meninggalkan pekarangan mahkamah tanpa memberikan sebarang komen kepada pihak media.

Selain untuk mengetahui keputusan representasi yang dihantar tahun lalu, mahkamah pada hari ini sepatutnya mendengar permohonan pihak pembelaan agar hakim dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu menarik diri daripada terus mengendalikan kes terbabit.

Hock Chuan bagaimanapun memberitahu, pihaknya telah menarik semula permohonan yang difailkan pada 29 Mac 2012 hari ini selepas tuduhan terbabit digugurkan.

Kong Choy didakwa pada 28 Februari 2011 di Mahkamah Sesyen Putrajaya dan mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menipu Abdullah dengan menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) selaku pemaju siap guna (turn-key developer).

Fakta-fakta yang disembunyikan ialah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Bhd., Valid Ventures Bhd. dan Free Zone Capital Bhd. dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika itu.

Abdullah selaku Perdana Menteri (ketika itu) tidak akan memberikan persetujuan jika fakta-fakta tersebut dimaklumkan kepadanya.

Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, dekat sini.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment