![]() |
*AB. RAUF Yusoh (kiri) bersalaman dengan Tian Chua di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. |
Beliau turut melahirkan rasa kesal atas dakwaan yang dilemparkan terhadap parti politik itu seperti yang disiar dalam artikel bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO' dalam portal berita PKR, KeadilanDaily.com bertarikh 1 Mac tahun lalu.
Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menarik balik kenyataan fitnah itu sebagai penyelesaian kes saman yang dikemukakan oleh UMNO terhadapnya dan Editor KeadilanDaily.com, Fazallah Pit serta penulis artikel, Aisha Geoffrey.
Saman fitnah itu yang sepatutnya dibicarakan hari ini dan Rabu, difailkan pada 15 Mac 2013 menerusi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh.
Penyelesaian kes saman itu dibuat menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini.
Terma lain yang terkandung dalam penghakiman tersebut ialah Fazallah dan Aisha bersetuju menarik balik artikel tersebut serta-merta daripada portal berkenaan.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun hadir mewakili UMNO dan peguam William Leong mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Tiada sebarang arahan dibuat oleh mahkamah berhubung kos.
Sementara itu di luar mahkamah, Tian Chua sekali lagi mengulangi rasa kesalnya berhubung dakwaan itu.
"Artikel ini memberi implikasi terhadap UMNO namun bukan niat saya hendak mengaitkan UMNO dan bersetuju demi mengelakkan kekeliruan, KeadilanDaily.com akan menarik balik artikel ini,'' kata beliau.
Dalam pernyataan tuntutannya, UMNO selaku plaintif mendakwa Tian Chua membuat kenyataan tersebut selepas ditemu ramah oleh wartawan portal itu.
Plaintif menyatakan, perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud, UMNO merancang insiden pencerobohan di Lahad Datu, UMNO pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu dan UMNO sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden tersebut.
Akibat penyiaran kata-kata fitnah itu, plaintif mendakwa, reputasi UMNO terjejas kerana kes pencerobohan di Lahad Datu melibatkan kedaulatan negara yang juga merupakan isu sensitif dan mengakibatkan pertumpahan darah serta tuntutan yang tidak wajar oleh pihak luar terhadap negeri Sabah yang diisytiharkan milik Malaysia sejak sekian lama - UTUSAN.

No comments:
Post a Comment