Tuesday, 14 January 2014

Rakam video isteri orang mandi

 * AFINDI menunjukkan laporan polis dan rakaman kamera litar tertutup berhubung seorang lelaki yang merakam gambar isterinya sedang mandi di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Januari, 2014: Seorang penjual insurans ditahan polis selepas bertindak merakam video isteri jirannya yang sedang mandi di sebuah kondominium di Bandar Tasik Permaisuri, di sini.

Difahamkan, suspek berusia 31 tahun dan telah berkahwin itu dikatakan menaruh minat terhadap isteri jirannya yang berusia 20 tahun.

Ekoran itu, mangsa telah bertindak di luar batasan apabila sanggup mengintai dari celahan tingkap kecil di bilik air rumah mangsa dan merekod video wanita itu sedang mandi, kelmarin.

Perbuatan mangsa itu bagaimanapun terbongkar apabila wanita tersebut ternampak telefon bimbit suspek dan dia terus menjerit lalu menghubungi suaminya yang ketika itu berada di luar.

Suami mangsa yang dikenali sebagai Affendi, 33, memberitahu, dia terus ke pejabat pengurusan kondominium itu dan meminta mereka menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di koridor berdekatan rumahnya.

"Dakwaan isteri saya yang dia melihat satu tangan memegang telefon bimbit ketika dia sedang mandi ternyata benar apabila saya sendiri menyaksikan rakaman CCTV yang menunjukkan jiran saya itu keluar dari kawasan belakang rumah.

"Walaupun suspek tidak dikenali secara rapat, namun saya tahu dia penduduk di sini dan rupa-rupanya dia adalah jiran di tingkat atas saya sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menerusi rakaman CCTV berkenaan, suspek dilihat turun bersama isterinya ke kawasan tempat letak kereta sebelum dia kembali semula dan membuat dua rakaman video setelah dia mendengar bunyi air di bilik mandi ketika melalui kawasan rumah mangsa.

Mengulas lanjut, Affendi memberitahu, selepas mengambil bukti rakaman CCTV, dia terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis dan sekitar pukul 12 malam, lelaki itu kemudiannya ditahan polis.

"Saya dipanggil polis untuk membuat pengecaman video yang dirakam suspek dan apabila dilihat, itu sememangnya rakaman isteri saya yang sedang mandi.

"Malah saya juga terkejut apabila diberitahu, jiran saya itu mempunyai beberapa rakaman video lain dan saya tidak pasti sama ada itu adalah video isteri saya atau jiran-jiran lain.

"Polis juga memberitahu yang lelaki itu sebenarnya meminati isteri saya kerana mungkin menyangka isteri masih bujang dan menyewa sendirian. Malah, rakaman itu bukan untuk diedarkan tetapi demi kepuasan sendiri," katanya.

Kata Affendi, penahanan lelaki itu mengejutkan penghuni di kondominium itu dan turut mencetuskan kebimbangan adakah mereka juga menjadi mangsa seperti isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment