My Add

Monday, 20 January 2014

Rakyat Malaysia disahkan terbunuh di Kabul

 
KABUL, AHAD, 19 Januari, 2014: Sebuah badan penasihat ekonomi antarabangsa mengesahkan rakyat Malaysia, Dr. N. Gnanathurai, 66, merupakan seorang daripada dua penasihatnya yang terbunuh dalam serangan berani mati di sebuah restoran popular di ibu negara Afghanistan, kelmarin.

Pengarah Urusan Adam Smith International, William Morrison yang berpangkalan di London, dalam kenyataannya berkata, Gnanathurai merupakan Penasihat Dasar Bajet dan Reformasi dan seorang daripada penasihat paling kanan dalam projek kewangan di Afghanistan.

Menurut Morrison, Gnanathurai mempunyai kelulusan doktor falsafah dalam bidang ekonomi.

“Gnana merupakan antara wakil syarikat ini yang konsisten dengan kajian akademik dan mengembangkan kerjaya dengan membantu kerajaan untuk melaksanakan disiplin fiskal dan membina ekonomi berdaya tahan.

“Beliau telah membantu memperbaharui proses belanjawan bagi Afghanistan, menjadikannya lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab," kata kenyataan yang disiarkan di laman web firma www.adamsmithinternational.com.

Kenyataan itu turut menamakan seorang lagi mangsa yang juga bekerja sebagai penasihat bagi firma itu sebagai Dharmender Phangurha Singh dipercayai dari Britain.

Kedua-dua mereka merupakan antara 21 orang yang terbunuh dalam serangan berani mati di restoran La Taverna du Liban milik ahli perniagaan Lebanon.

Serangan itu yang disusuli dengan tembakan rambang oleh sekumpulan lelaki bersenjata, turut mengorbankan lapan rakyat tempatan, dua rakyat Kanada, tiga rakyat Amerika Syarikat (AS), dua rakyat Britain, dua rakyat Lebanon dan masing seorang rakyat Somalia kelahiran AS, Denmark dan Rusia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment