Rasuah: pegawai kastam dijel sehari, denda RM10,000
JOHOR BAHRU, ISNIN, 06 Januari, 2013: Seorang pegawai kastam dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM1,500 daripada seorang pemilik kafe pada November, tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tempoh Suhaimi Abdul Wahab, 40, dipenjarakan itu ditambah lagi enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Suhaimi mengaku menerima wang suapan tersebut daripada pemilik Dream-Dream Cafe, Leong Po Tong di dalam bilik pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kluang di sini pada pukul 3.25 petang, 15 November tahun lalu.
Sogokan itu didakwa diberi sebagai dorongan membantu mengurangkan kadar kompaun terhadap premis tersebut yang menjalankan perniagaan menjual minuman keras tanpa lesen.
Tertuduh membayar denda tersebut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment