![]() |
* BUDIMAN Mohd. Zohdi (tiga dari kiri) bersama penduduk kampung di hadapan Pusat GiatMara yang ditutup di Kampung Parit 16, Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN/UMMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH |
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya mengamalkan sikap demikian sehingga membawa kepada penutupan pusat latihan berkenaan yang sebelum ini banyak memberi manfaat kepada rakyat selain menjana pembangunan ekonomi penduduk setempat.
"Jika dibandingkan dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Selangor, pusat latihan itu diwujudkan atas dasar kesedaran dan usaha untuk membangunkan golongan belia khususnya bumiputera dalam bidang kemahiran dan telah terbukti berjaya meningkatkan taraf hidup golongan itu.
"Kita lihatlah apa yang terjadi pada GiatMara Sabak Bernam hari ini. Bangunan dan kawasannya ditutup dan terbiar sehingga dipenuhi semak-samun. Yang ruginya adalah rakyat setempat," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi GiatMara Sabak Bernam di Kampung Parit 16, di sini hari ini.
Kerajaan negeri mengarahkan penutupan pusat GiatMara Sabak Bernam pada pertengahan 2012 selain menuntut Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjelaskan tunggakan sewa premis bangunan pusat latihan tersebut yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melibatkan jumlah hampir RM100,000.
Arahan itu dikeluarkan kerajaan negeri bermula pada tahun 2008 dan berlanjutan sehingga 2011 apabila kerajaan negeri meminta Mara menandatangani perjanjian sewaan baharu premis tersebut sedangkan ketika pentadbiran BN di Selangor, tiada sebarang sewa dikenakan kepada agensi itu.
Akhirnya pada pertengahan tahun 2012, GiatMara Sabak Bernam ditutup dan agensi itu terpaksa membayar tunggakan sewa RM100,000 sebelum operasi pusat latihannya dipindahkan ke Sungai Lias, Sabak Bernam sehingga kini.
Pada masa sama, Budiman turut menyifatkan sikap kerajaan negeri itu termasuk arahan terbaharu untuk menutup GiatMara Selayang di Taman Selayang Baru pada akhir tahun ini adalah tidak bertepatan dengan manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu yang dikatakan mahu memberi pendidikan percuma kepada rakyat.
Sementara itu seorang penduduk Kampung Parti 16, Ali Sohod, 43, berkata, bangunan tersebut terbiar dan sekali gus boleh mengundang kewujudan penagih dadah dan gejala sosial di kawasan tersebut.
"Ada orang dari luar kawasan datang ke bangunan tersebut tanpa diketahui tujuannya. Ini amat membimbangkan apabila kemungkinan mereka yang datang ke kawasan itu melakukan aktiviti tidak bermoral," katanya.
Seorang lagi penduduk, Faisal Clement Abdullah, 52, berkata, rumput yang semakin hari semakin meninggi menyebabkan kawasan sekitar GiatMara Sabak Bernam itu menjadi semak dan dikhuatiri memberi ancaman keselamatan kepada penduduk kampung.
"Sebelum ini rata-rata belia kawasan sekitar memanfaatkan masa mereka dengan mengambil kursus yang disediakan di pusat ini. Namun selepas ditutup majoriti daripada mereka kembali melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment