My Add

Saturday, 18 January 2014

Wanita UMNO Selangor minta MB keluar surat batal arahan PTD

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Wanita UMNO Selangor meminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengemukakan satu surat membatalkan arahan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak supaya pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru dikosongkan.

Ketuanya, Datuk Norhayati Onn berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan kekeliruan rakyat terhadap arahan bercanggah antara PTD dengan Abdul Khalid.

"Wanita UMNO Selangor memohon Menteri Besar dan kerajaan Selangor memberi penjelasan dan ketetapan berhubung nasib serta masa depan semua pusat latihan GiatMara di seluruh negeri Selangor.

"Abdul Khalid perlu menyatakan bahawa pengurusan GiatMara di Selayang diberi pilihan untuk meneruskan aktivitinya dengan menaik taraf prasarana pusat latihan berkenaan seperti yang dinyatakannya semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas arahan bercanggah antara Menteri Besar dengan PTD Gombak kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung penutupan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru.

Norhayati yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri meragui bagaimana berlakunya dua kenyataan berbeza itu dan mempersoalkan adakah ia kenyataan politik Abdul Khalid semata-mata untuk meredakan keadaan berikutan timbul pelbagai bantahan ketika ini.

"Wanita UMNO tidak mahu oleh kerana kenyataan politik, akhirnya pusat berkenaan terpaksa ditutup juga berikutan ketiadaan surat bagi mengatasi arahan yang diterima sebelum ini,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat 1Belia 1Kemahiran Majlis Belia Malaysia, Mohammad Rizan Hassan menyeru pemimpin UMNO membantu mengangkat martabat pembangunan belia bumiputera berkemahiran secara jujur dan ikhlas.

Menurutnya, keperluan pusat latihan kemahiran GiatMara untuk belia bumiputera yang tercicir dalam akademik serta miskin wajar dijadikan agenda penting UMNO bagi membantu menyediakan masa depan yang baik untuk golongan sasaran pusat tersebut.

"Sebenarnya kebangkitan golongan belia bumiputera hari ini bukan datang dari universiti sebaliknya dari belia berkemahiran yang dilengkapi dengan ilmu latihan kemahiran tinggi selain menguasai pelbagai lapisan peringkat perjawatan dalam industri.

"Malangnya golongan ini terpaksa bersaing dengan lambakan pekerja asing. Oleh itu, tindakan mengancam menutup GiatMara di beberapa lokasi dianggap bermotif politik selain ingin menyukarkan kehidupan golongan belia,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment