![]() |
| Mustafa Ali |
KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Januari, 2014: Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, peguamnya dan akhbar lidah rasmi Pas, HarakahDaily, menyatakan persetujuan menarik balik kenyataan fitnah terhadap UMNO kerana didakwa mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip beliau.
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun memberitahu pemberita, Mustafa; peguamnya, Asmuni Awi; dan Ketua Pengarang HarakahDaily.net, Zulkifli Sulong, telah memaklumkan perkembangan kes itu ketika menghadiri proses mediasi hari ini di hadapan Ketua Pusat Mediasi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Hakim Zainal L. Salleh.
Menurut beliau, Rabu ini pihaknya akan memaklumkan persetujuan yang dicapai ketika proses mediasi untuk direkodkan oleh Hakim Datuk John Louis O'Hara.
Pada 22 April tahun lalu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh atas kapasiti pegawai awam UMNO selaku pihak plaintif telah memfailkan saman ke atas Mustafa, Asmuni dan Zulkifli masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Ab. Rauf dalam writ saman menyatakan, kenyataan fitnah itu diucapkan Mustafa bersama Asmuni dan telah diterbitkan oleh Zulkifli.
Pihak plaintif mendakwa, Mustafa membuat kenyataan berunsur fitnah yang pertama ketika berucap dalam satu majlis di markas Pas Kampung Molek, Dungun, Terengganu pada 13 April 2013.
Pada tarikh sama, kenyataan itu disiarkan oleh www.malaysiakini.com melalui artikel bertajuk 'Mustafa nafi letak jawatan SUA Pas' manakala HarakahDaily.net menyiarkan artikel bertajuk 'Mustafa ceramah di Dungun, dakwa UMNO terdesak'.
Artikel ketiga bertajuk, 'Peguam Mustafa dakwa ia fitnah UMNO' bertarikh 12 April dan artikel keempat bertarikh 13 April bertajuk, 'GE13: Mustafa: I'm not the man in videoclip' manakala artikel kelima bertajuk 'Saya tidak mahu jawab, serah kepada peguam - Mustafa'.
Akibat tuduhan serius dilemparkan dengan niat jahat itu, pihak plaintif menegaskan, Mustafa bertanggungjawab ke atas reputasi UMNO yang terjejas teruk dan pihak plaintif layak diberikan ganti rugi. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment