My Add

Monday, 17 February 2014

1.13 juta rakyat tidak mohon, perbaharui MyKad

BAGAN DATOH,AHAD, 16 Februari, 2014: Sebanyak 1.13 juta rakyat berusia 12 dan 18 tahun di negara ini gagal memohon kad pengenalan atau MyKad serta tidak memperbaharui dokumen identiti diri mereka itu sehingga kini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1.06 juta mereka yang berusia 18 tahun gagal memperbaharui MyKad manakala 64,122 orang berusia genap 12 tahun yang layak memohon MyKad kali pertama tidak berbuat demikian.

"Ini akan menyukarkan mereka terutama untuk menduduki peperiksaan yang memerlukan MyKad. Apabila berusia 18 tahun, kad pengenalan wajib diperbaharui," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Cetakan Teragih MyKad dan Serahan M12/My18 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Bagan Datoh di sini hari ini.

Beliau berkata pembaharuan kad pengenalan pada usia 18 tahun wajib dilakukan berdasarkan Peraturan 18, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan MyKad yang baharu lebih berkualiti serta mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik.

Individu yang gagal memperbaharui MyKad selepas mencecah umur genap 18 tahun boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment