Thursday, 20 February 2014

Agong serah watikah kepada duta, pesuruhjaya tinggi baharu

* TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyerahkan watikah kepada Mat Dris Yaacob dalam Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap oleh Bakal Ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke Luar Negara di Istana Negara, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Februari, 2014: Enam duta asing hari ini mempersembahkan watikah pelantikan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Negara di sini.

Mereka ialah Duta Besar Republik Czech Rudolf Hykl, Duta Besar Republik Rakyat China Huang Huikang, Duta Besar Republik Mexico Carlos Isauro Felix Corona, Duta Besar Australia Roderick Richard Campbell Smith, Duta Besar Oman Janab al-Sayyid Fakhri Mohamed, dan Duta Besar Republik Arab Mesir Salah Mohi Eldin Elwassimy.

Hykl, 48, pernah menyandang jawatan sebagai editor berita di Bahagian Antarabangsa Agensi Berita Czechoslovak selama setahun mulai 1989.

Huang Huikang, 59, lulusan dalam bidang Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Wuhan, dan jawatan terakhir adalah Ketua Pengarah, Jabatan Triti dan Undang-undang, di Kementerian Luar China.

Felix Corona, 57, pula adalah lulusan dalam bidang hubungan antarabangsa dari University Mexico dan jawatan terakhir adalah Jeneral Konsulat Mexico di San Francisco selama tujuh tahun bermula 2007.

Campbell Smith, 52, pernah menyandang jawatan sebagai Duta Besar Australia ke Filipina bermula Mac 2008 hingga Januari 2012. Beliau menggantikan Duta Besar Australia ke Malaysia Miles Kuppa yang tamat perkhidmatan pada Disember tahun lepas.

Janab al-Sayyid Fakhri Mohamed, 61, fasih berbahasa Arab, Inggeris dan Swahili dan jawatan terakhir adalah Duta Besar ke Brunei mulai 2008.

Salah Mohi Eldin Elwassimy, 53, lulusan bidang perdagangan dari Universiti Ain Shams dan jawatan terakhir adalah timbalan penolong menteri di Kementerian Luar di Kaherah. Tuanku Abdul Halim turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lima Duta Besar dan dua Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara.

Lima Duta Besar Malaysia itu ialah ke Hungary, Mohamad Sadik Kethergany, ke Turkmenistan (Norman Muhammad), ke Republik Algeria (Mohd. Tarid Sufian), ke Republik Islam Iran (Raja Nushirwan Zainal Abidin) dan ke Jordan (Zakri Jaafar).

Dua pesuruhjaya tinggi itu ialah ke Afrika Selatan Mat Dris Yaacob dan ke Republik Ghana,Cheong Loon Lai.

Mohamad Sadik Kethergany, 54, berasal dari Sarawak memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha (Pentadbiran) di Kementerian Luar selama enam tahun bermula 1989. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Duta Malaysia ke Iran pada 2009.

Mohd. Tarid Sufian mula berkhidmat di Kementerian Luar pada 1994. Sebelum dilantik sebagai bakal Duta Besar ke Algeria beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Penyelarasan dan Pelaksanaan di Kementerian Luar.

Mat Dris, 64, pula pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Syria dari 2010 hingga 2012 dan Konsul Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada dari 2003 hingga 2007.

Cheong pula pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar di Kementerian Luar dan Setiausaha Bahagian, Kerjasama Serantau, Sosial dan Kebudayaan (RCSCD) di kementerian tersebut sebelum dilantik sebagai Duta Besar ke Republik Ghana. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment