Thursday, 20 February 2014

Elak anak terlibat dadah - PM

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa golongan ibu bapa dan keluarga memperkukuhkan institusi kekeluargaan bagi mengelak anak-anak terdedah dengan gejala tidak sihat khususnya penyalahgunaan dadah.

Menurut Perdana Menteri, hal sedemikian kerana kehidupan yang tidak bahagia atau selesa di rumah menjadikan nilai kepercayaan kanak-kanak dan remaja terhadap ibu bapa mula menipis berbanding pengaruh rakan sebaya.

Rentetan itu jelasnya, didorong perasaan ingin tahu yang tinggi, menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan gejala negatif.

"Penyalahgunaan dadah cenderung berlaku di dalam rumah kita sendiri. Berdasarkan pemerhatian, penagihan dadah dalam kalangan remaja turut dikaitkan dengan gejala moral lain seperti ketagihan alkohol dan seks.

"Ini menjadikan masalah ini bertambah kompleks dan proses rawatan serta pemulihan menjadi rumit dan memerlukan kepakaran tinggi. Kesannya, masalah sosial lain akan turut berlaku seperti seks bebas, vandalisme dan keruntuhan akhlak," katanya dalam perutusan sempena Hari Antidadah 2014 yang disambut pada 19 Februari setiap tahun, di sini hari ini.

Najib memberitahu, atas dasar itu, ibu bapa dan keluarga perlu bertindak segera selain memastikan keluarga mengamalkan kehidupan yang sihat serta prihatin dengan perubahan tingkah laku anak-anak.

"Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak, hormati perasaan dan pendapat mereka serta didiklah mengenai kesan buruk dadah supaya mereka mendapat maklumat yang betul," jelasnya.

Ujar beliau, kajian ke atas kos ekonomi penyalahgunaan dadah oleh pengkaji dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2009 mendapati sejumlah RM8.65 bilion dibelanjakan kerajaan melalui kos langsung (perbelanjaan agensi-agensi penguatkuasaan dan pemulihan berkaitan pemulihan dadah).

Jumlah itu katanya, turut meliputi kos tidak langsung (kos rawatan kesihatan, kos kehilangan produktiviti dan kos berkaitan jenayah seramai 63,884 orang penagih dadah).

"Jika kos tersebut digunakan untuk membina sekolah menengah kebangsaan berkapasiti 1,200 orang pelajar, kerajaan berupaya menyediakan 216 buah sekolah dan seramai 259,200 orang pelajar boleh mendapat faedahnya.

"Pada hemat saya, jika kita berjaya menangani masalah penyalahgunaan dadah secara bersama, sudah pasti kos seperti ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting dan memberi manfaat kepada rakyat," jelasnya.

Sementara itu katanya, kerajaan telah menyediakan perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan secara terbuka kepada semua golongan yang menghadapi permasalahan dadah melalui Klinik Cure & Care 1Malaysia sejak 2010.

Sehingga kini, ujarnya, kerajaan telah menubuhkan 12 buah klinik berkenaan di seluruh negara dan seramai 39,452 orang telah menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan juga diperluaskan ke dalam komuniti dengan menyediakan 58 buah Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) dan sejumlah 673,548 sesi perkhidmatan telah diberikan kepada mereka yang memerlukan perkhidmatan berkaitan dadah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment