My Add

Thursday, 13 February 2014

Cabaran besar menanti Adenan sebagai Ketua Menteri

Oleh ZULKIFLI JALIL
 
 Dr. Jeniri Amir
APABILA Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem mengerjakan umrah baru-baru ini, timbul pelbagai tafsiran dalam kalangan rakyat Sarawak.

Biarpun tafsiran itu telah terjawab semalam, namun rakyat Bumi Kenyalang memang cukup maklum bahawa Adenan, 70, adalah orang pilihan untuk sekian lama menjadi Ketua Menteri.

Apabila Adenan tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan 127 undi di tangan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada 1998, Abdul Taib telah mewujudkan satu jawatan khas untuk Adenan dalam PBB sebagai Naib Presiden Kanan.

"Maksudnya Abdul Taib memang mengharapkan Adenan," kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir kepada Utusan Malaysia.

Tidak lama selepas itu, Adenan dilantik pula sebagai Pengerusi Yayasan Sarawak yang sebelum itu disandang oleh Abdul Taib. Adenan kemudian diberi banyak tanggungjawab oleh Abdul Taib sekali gus memperlihatkannya memang diasah untuk menggantikan beliau.

"Dalam keadaan beliau dikatakan tidak begitu sihat, beliau dipilih walaupun dalam parti selaku ketua penerangan PBB," kata Jeniri.

 Prof. Jayum Jawan
Menarik perhatian pemilihan Adenan, Jeniri menarik perhatian, pada suatu ketika hubungan Abang Johari dengan Abdul Taib dingin ekoran persaingannya dengan Adenan pada 1998. Demikian juga dengan Adenan yang selepas balik ke Sarawak dari Pusat (selaku Menteri Persekutuan) pada 2006, turut mempunyai hubungan dingin dengan Abdul Taib. Tetapi hubungan kedua-dua pemimpin kanan PBB ini dengan Ketua Menteri pulih tidak lama selepas itu.

"Berdasarkan perkembangan empat bulan lepas, (Abdul) Taib kelihatan dalam dilema untuk memilih siapa, tetapi semalam Adenan pilihan beliau sebagai Ketua Menteri," kata Jeniri lagi.

Bagaimanapun tidak diragui bahawa Adenan seorang yang bijak dan berupaya menangani isu-isu dan cabaran mendatang. Antaranya, kejayaan Adenan menyelesaikan krisis kemasukan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) ke dalam Barisan Nasional Sarawak pada 1990-an. Ketika itu memang sudah terang lagi bersuluh, Adenan orang kepercayaan Ketua Menteri.

Cuma, kata Jeniri, beliau terdengar cakap-cakap bahawa Adenan hanya memegang jawatan Ketua Menteri dalam tempoh peralihan dua tahun ini.

"Apa yang dapat dilakukan oleh seorang Ketua Menteri dalam tempoh dua tahun sedangkan cabarannya cukup besar untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang mandatnya akan berakhir Jun 2016. Ini termasuklah menangani isu kalimah Allah, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan asakan pembangkang yang kuat," katanya.

Bagi Prof. Jayum Jawan, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula,

Adenan biarpun pernah hanya menyandang jawatan Menteri Persekutuan dalam tempoh singkat, diyakini berupaya mencorakkan pentadbiran Sarawak mengikut acuannya sendiri.

"Beliau seharusnya bijak mendengar dan berdialog dengan rakyat di semua peringkat dalam menggerakkan kepimpinannya.

"Jika beliau berjaya menguruskan tenaga bahtera di sekeliling yang hebat-hebat, akhirnya kehebatan dirinya juga akan tertonjol," katanya.

Seperkara lagi, apa yang diharapkan adalah Adenan dan Abang Johari dapat bersatu mengelakkan krisis dalaman parti.

Dan pada masa sama memperjelaskan kepada para penyokong masing-masing supaya terus bersatu hati dan bergerak seiring.

Ini penting supaya PBB kekal sebagai tulang belakang mantap membawa parti-parti komponennya untuk berdepan pilihan raya negeri.

Seterusnya mengekalkan kecemerlangan BN Sarawak mempertahankan mandat rakyat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment