MB tidak nafi dijemput Pas
SHAH ALAM, RABU, 12 Februari, 2014:.Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah tidak menafikan dakwaan pernah dipujuk oleh beberapa pemimpin Pas untuk menyertai parti itu apabila enggan mengulas ketika ditanya mengenainya.
Abdul Khalid berkata, tidak sepatutnya perkara itu dibangkitkan sekarang apatah lagi menjadikannya sebagai isu penting menjelang tumpuan pakatan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.
"Saya tidak mahu jawab mengenai perkara ini (dijemput sertai Pas). Saya ingat jawatan Menteri Besar ini tidak payah dijadikan isu.
"Saya rasa kita perlu berikan peluang kepada rakyat di DUN Kajang untuk menentukan siapa yang mereka pilih. Perkara lain akan berlaku seterusnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beliau pernah pernah dipujuk beberapa pemimpin Pas untuk menyertai parti itu sekali gus keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pelawaan Pas tersebut dikatakan pernah dibangkitkan dalam satu pertemuan antara pemimpin tertinggi parti itu dan Abdul Khalid susulan kemelut dalaman PKR Selangor termasuk perebutan jawatan Menteri Besar.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika ditemui menafikan pihaknya mempelawa Abdul Khalid menyertai parti itu seperti yang didakwa.
Bagaimanapun, beliau mengakui pemimpin Pas seringkali mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid sebelum ini.
"Tiada pelawaan itu (jemput Abdul Khalid sertai Pas). Polisi kita (Pas), kita tidak 'curi ahli' daripada parti lain untuk menyertai kita," ujarnya.
Tambah Iskandar, pendirian Pas Selangor adalah selari dengan keputusan parti di peringkat Pusat iaitu jawatan Menteri Besar tidak dibincangkan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment