![]() |
* AZIZ Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan senapang angin buatan sendiri yang digunakan penjenayah Geng Syafiq semasa sidang akhbar di IPD Kuantan, semalam. |
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Aziz Ahmad berkata, kejayaan itu dilakukan tidak sampai 24 jam selepas suspek memecah masuk sebuah rumah di Cherating Perdana, Jalan Kuantan-Kemaman di sini kira-kira pukul 6 pagi semalam.
Menurutnya, rumah tersebut ditinggalkan pemiliknya yang pulang bercuti ke Kerteh, Terengganu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Katanya lagi, antara barang yang hilang adalah sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC, masing-masing satu unit televisyen, mini televisyen dan perakam video, empat telefon bimbit serta serangkai kunci.
Selepas mendapat maklumat kejadian pecah rumah itu, kita menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memburu suspek terlibat dan hasil maklumat orang awam, polis berjaya menahan keempat-empat suspek tersebut yang berusia antara 21 hingga 24 tahun.
Ketika ditahan mereka sedang menaiki dua buah kereta Proton Saga di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di sini pada pukul 8 pagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aziz berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati kereta yang dinaiki suspek merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Gambang dan bandar ini bulan lalu.
Ujarnya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu, polis menemui satu alat pemotong, satu kuku kambing, dua pemutar skru, satu senapang tiruan dan sebilah pisau.
Kita juga menjumpai pelbagai jenis barang yang dicuri oleh kumpulan itu berupa barang kemas, jam tangan, pelbagai jenama rokok, buku simpanan bank.
Turut ditemui tiga komputer riba, tiga televisyen, beg tangan wanita, telefon bimbit, kunci kereta, pemain cakera padat digital (DVD) dan sejumlah duit syiling serta wang tunai berjumlah RM600," ujarnya.
Tambah Aziz, kesemua barang yang dirampas itu termasuk kenderaan dinaiki suspek berjumlah RM100,000.
Beliau memberitahu, polis juga turut merampas satu straw mengandungi serbuk putih dan tiga biji pil eramin 5 disyaki dimiliki salah seorang suspek terlibat dan dua daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
Ujian saringan air kencing yang dibuat terhadap keempat-empat suspek terlibat didapati kesemuanya positif dadah," ujarnya.
Kata Aziz, dengan kejayaan itu, polis dijangka dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah yang berlaku di Beserah serta bandar ini dengan kesemua suspek terlibat kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment