My Add

Tuesday, 4 February 2014

Indonesia catat nilai dagangan terbesar

Oleh NUR HANANI AZMAN

JAKARTA, ISNIN, 03 Februari, 2014: Indonesia mencatatkan lebihan dagangan terbesar untuk dua tahun pada Disember dengan data menunjukkan negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu menunjukkan pemulihan ekonomi selepas krisis pada 2013.

Lebihan dagangan itu lebih besar daripada jangkaan AS$1.52 bilion (RM5.09 bilion), jelas agensi perangkaan, naik daripada AS$776.8 juta (RM2.6 bilion) pada November.

Indonesia terjejas teruk tahun lalu, bersama dengan negara-negara sedang membangun yang lain berikutan spekulasi mengatakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menghentikan program rangsangan ekonominya.

Spekulasi itu telah menyebabkan bursa saham Jakarta jatuh dan mata wang rupiah merudum. Nilai rupiah merosot sebanyak 20 peratus.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berusaha membendung kejatuhan ekonomi dan bank pusat menaikkan kadar faedah kepada 175 mata asas di antara bulan Jun dan November.

Kegelisahan negara ekonomi baharu muncul itu berlaku lagi pada bulan lalu apabila saham-saham dunia jatuh selepas Rizab Persekutuan AS mengumumkan pemotongan kedua dalam pembelian bon.

Bagaimanapun, data pada Isnin menunjukkan bukti kukuh bahawa ekonomi Indonesia kini pulih, kata ahli-ahli ekonomi.

''Jika terdapat keraguan pada kedudukan dagangan Indonesia yang semakin pulih, ia bukanlah pada masa ini,'' kata ahli ekonomi Credit Suisse, Robert Prior-Wandesforde.

Manakala Ketua Agensi Perangkaan, Suryamin berkata, penyumbang terbesar kepada lebihan dagangan ialah eksport yang tinggi untuk sektor-sektor seperti gas dan perkakasan elektrik.

Eksport mencecah AS$16.98 bilion (RM56.82 bilion) naik 10.33 peratus berbanding Disember 2012, manakala import antara Januari sehingga Disember 2013 susut sebanyak 2.64 peratus kepada AS$186.63 bilion (RM624.56 bilion).

Inflasi pula pada Januari adalah 8.22 peratus tahun ke tahun, kata agensi perangkaan itu.

Ini sedikit rendah daripada 8.38 peratus pada Disember lalu tetapi masih tinggi berikutan musim banjir yang melanda di seluruh negara hingga mengakibatkan kenaikan harga makanan.

Indonesia telah menikmati perkembangan drastik berpanjangan pada tahun-tahun sebelumnya, dengan ekonomi berkembang lebih daripada enam peratus setahun, tetapi penganalisis meramalkan pertumbuhan itu akan merosot di bawah tahap ini pada 2013. Pertumbuhan tahunan penuh 2013 akan dikeluarkan Rabu ini. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment