Saturday, 15 February 2014

Isteri jurugambar Utusan parah diragut

 * NORHASHIMAH Hasan menerima rawatan di Hospital Ampang Puteri, Ampang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Februari, 2014: Isteri jurugambar Utusan Malaysia cedera parah akibat terjatuh selepas diragut seorang lelaki bermotosikal di Desa Pandan, Ampang dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Norhashimah Hasan, 41, isteri kepada Zaini Husin, 48, mengalami kecederaan di kepala serta patah bahu kanan dan kini dirawat di Hospital Ampang Puteri.

Norhashimah memberitahu, kejadian berlaku semasa dia sedang berjalan ke arah kereta bersama anaknya, Nur Aliya Afiqa, 14, selepas makan malam di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian.

"Tiba-tiba datang seorang lelaki bermotosikal cuba meragut beg tangan saya. Bagaimanapun saya tidak melepaskan beg itu sehingga terjatuh.

"Lelaki itu memusingkan motosikal untuk meragut beg saya sekali lagi tetapi membatalkan hasratnya kerana melihat orang ramai datang ke arah saya untuk membantu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selepas kejadian itu, kata Norhashimah, dia terus menghubungi Zaini untuk memaklumkan kejadian dan suaminya itu terus menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan ambulans.

Tambahnya, dia kemudian dibawa ke hospital untuk dirawat dan selamat menjalani pembedahan bagi menyambung semula tulang bahunya yang patah itu petang ini.

"Suami saya juga telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang berhubung kejadian," katanya.   - UTUSAN

No comments:

Post a Comment