Kebakaran muzium lilin i-City perbuatan khianat
SHAH ALAM, ISNIN, 03 Februari, 2014: Polis mengesahkan kejadian kebakaran yang membabitkan lebih 10 patung lilin di muzium lilin The Red Carpet, i-City di sini Rabu lalu berpunca daripada perbuatan khianat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Deputi Supritendan Muhammad Idzham Jaafar berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan berikutan khianat ke atas bangunan.
"Suspek dilihat memakai topi dan sarung tangan dalam kejadian itu, bagaimanapun kami tidak boleh beri komen lanjut mengenainya sehingga siasatan selesai," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Pengurus Maklumat I-Berhad, pemaju i-City, Tang Soke Ching dalam kenyataan berkata, pengesahan polis tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis terbabit.
"Rakaman CCTV menunjukkan tiga individu memasuki muzium itu melalui pintu masuk yang digunakan oleh pengawal keselamatan i-City.
"Rakaman itu turut menunjukkan mereka membakar ruang pameran dan beberapa patung lilin," katanya.
Soke Ching berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kejadian itu.
Katanya, berikutan kejadian itu, kawasan pameran utama The Red Carpet akan ditutup kepada orang ramai buat sementara waktu bagi membolehkan kerja mengganti dan membina semula patung lilin yang musnah.
"Bagi patung lilin yang tidak mengalami sebarang kerosakan, pihak pengurusan telah memindahkan patung-patung lilin ke bilik pameran lain," katanya.
Kebakaran kira-kira pukul 2.30 pagi itu, selain merosakkan patung lilin turut memusnahkan taman tema digital hingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment