Tuesday, 4 February 2014

Misi 'auto' Malaysia-India

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
 
 * MUSTAPA Mohamad (tengah) dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Karnataka, R. Shivakumar (kanan sekali) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kumpulan Skali dengan mPOWER yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Skali, Tengku Farith Rithauddeen (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan mPOWER, Abdullah Akbar Ali (dua dari kanan) bersempena Misi Perdagangan dan Pelaburan PKS ke Bangalore, India, baru-baru ini.
PERGERKAN Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali dengan Tok Pa ke India boleh diumpamakan seperti menaiki 'Auto'. 'Auto' yang disebut Arto merupakan antara pengangkutan awam utama di negara itu seperti 'tuk tuk' di Thailand iaitu sebuah motosikal yang diubah suai untuk membawa penumpang secara pantas.

Misi Perdagangan dan Pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke negara sedang membangun itu yang berlangsung pada 27 hingga 30 Januari lalu amat padat. Fokusnya pada kali ini terarah kepada kumpulan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Fokus kali pertama kepada kumpulan sasaran itu tidak mengharapkan pulangan pelaburan yang tinggi antara kedua-dua negara malah misi tersebut lebih kepada membuka 'pintu' kepada usahawan PKS untuk mencipta jaringan perniagaan baharu dan mengintai peluang usaha sama yang boleh diwujudkan, sekali gus mampu bersaing di peringkat global.

Misi anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ini ditumpukan di Bangalore dan Chennai bersempena dengan keperluan Tok Pa untuk menghadiri Sidang kemuncak Perkongsian 2014 yang menjemput beliau menjadi ahli panel dalam persidangan tahunan anjuran Konsortium Industri India (CII) itu.

Bangalore terkenal sebagai hab teknologi maklumat (IT), manakala Chennai diiktiraf sebagai hab sektor pembuatan. Maka, pemilihan delegasi Malaysia mengunjungi kedua-dua ibu negeri Karnataka dan Tamil Nadu itu amat tepat.

Selain menghadiri Forum Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia-India (MICEOF) kali keenam, kunjungan kerajaan Malaysia menggunakan masa keemasan ini untuk menyampaikan seminar kepada syarikat-syarikat korporat gergasi di negeri itu berhubung peluang perniagaan yang boleh dilaksanakan di Malaysia.

Disampaikan sendiri oleh Tok Pa, ternyata usaha terbabit berjaya menarik beberapa syarikat korporat tempatan sehingga mereka telah menyatakan persetujuan untuk membuat pelaburan di Malaysia.

Sebuah syarikat subsidiari konglomerat terbesar negara itu bercadang membuka pusat penyelidikan reka bentuk dalam bidang elektrik dan elektronik di Malaysia selewat-lewatnya hujung tahun ini.

India turut mempelawa Malaysia untuk terlibat dalam proses pembuatan makanan dan pertanian serta tenaga solar yang turut dibincangkan oleh syarikat-syarikat berkaitan di antara kedua-dua negara.

Syarikat biofarmaseutikal India, Biocon Ltd. dan Stelis Biopharma dijangka memperluas operasinya bagi fasa kedua di Malaysia membabitkan nilai pelaburan bernilai RM335 juta.

Maklum balas daripada syarikat-syarikat yang telah pun menjalinkan kerjasama perniagaan dengan negara kita amat membanggakan. Malaysia mengikut pandangan mereka amat mudah untuk menjalankan perniagaan, tidak ada kerenah birokrasi selain menawarkan pengecualian cukai 10 tahun, pengecualian duti, insentif khusus bagi pelaburan besar, akses ke pasaran ASEAN melalui perjanjian perdagangan bebas dan tiada halangan ekuiti.

Taj Agro Nafas India Pvt. Ltd, syarikat pengeluar produk pengguna dan makanan haiwan setuju untuk meneruskan kerjasama perniagaan mereka dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk pembinaan kilang pemprosesan bahan itu dengan nilai pelaburan berjumlah RM100 juta bagi tempoh tiga tahun

Syarikat subsidiari senaraian awam kejuruteraan India, Shiriram EPC Ltd. begitu teruja untuk mengikat kerjasama dengan syarikat berkaitan di Malaysia bagi pelaksanaan projek sedia ada mereka di beberapa buah negara hanya kerana tertarik dengan sikap yang ditonjolkan Tok Pa yang mengetepikan jawatan yang disandangnya demi menarik pelaburan untuk negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment