Saturday, 15 February 2014

Kerajaan sudah lama kawal harga

Oleh ANGELINA SINYANG
 
 * MUHYIDDIN Yassin menandatangani plak perasmian Dewan Pakma (Raflesia) sambil diperhatikan oleh Adenan Satem (dua dari kiri) dan Alfred Jabu Numpang (tengah) semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Pakma SMK Lundu, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
LUNDU, JUMAAT 14 Februari, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sudah lama mengawal kenaikan harga barang sebelum isu itu diputar-belitkan oleh pembangkang untuk menaikkan kemarahan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Malah kata Timbalan Perdana Menteri, Malaysia merupakan negara tunggal di dunia yang mengamalkan skim pengawalan harga dan subsidi terhadap barangan untuk membantu meringankan beban rakyat.

Menurut beliau, kenaikan harga sesetengah barangan bagaimanapun tetap berlaku dan tidak boleh dikawal oleh kerajaan kerana turun atau naik harga barang itu ditentukan oleh pembekal, pemborong dan orang tengah.

"Semasa saya memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK) saya sering turun ke pasar untuk memantau harga barang seperti ayam.

"Bila saya buat demikian, pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar saya sebagai 'menteri ayam.' Namun, saya tidak kisah digelar menteri ayam asalkan niat saya baik untuk membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Menurut Muhyiddin, meskipun tiada kuasa untuk mengawal harga barang, namun kerajaan cuba menangani masalah itu dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada.

Beliau berkata, Akta Kawalan Harga 1946 yang sudah diguna pakai semasa pemerintahan British masih digunakan di negara ini.

Katanya, kerajaan juga sentiasa berbincang dengan persatuan peniaga dan pemborong serta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk bekerjasama membantu kerajaan menurunkan harga barang agar tidak membebankan pengguna pada musim perayaan.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sentiasa memastikan nasib semua rakyat sama ada yang tinggal di bandar dan luar bandar sentiasa terbela.

"Kita tidak mahu sampai terlepas pandang keperluan penduduk termasuk yang tinggal di kawasan yang terpencil.

Ini kerana banyak tempat di luar bandar juga mempunyai sumber seperti tanaman, hasil sungai dan laut yang berpotensi untuk dibangunkan," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut bersetuju memenuhi permintaan Adenan untuk menamakan Dewan SMK Lundu yang baru siap dibina dengan nama Dewan Pakma atau Rafflesia sejenis bunga terbesar di dunia yang terdapat di Taman Negara Gunung Gading di sini.

Beliau juga bersetuju meluluskan peruntukan RM1 juta iaitu tambahan kepada RM500,000 yang pernah diberikan sebelum ini untuk membaik pulih bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera Lundu.

Sementara itu Adenan yang bakal menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima dalam ucapan berkata, daerah Lundu berkembang dengan pesat dan berpotensi menjadi destinasi ekopelancongan utama di negeri ini kerana memiliki pantai sepanjang kira-kira 100 kilometer yang cantik tidak tercemar serta gunung dan hutan yang terdapat bunga pakma. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment