Saturday, 15 February 2014

Sekolah Sabah, Sarawak dapat RM1b

LUNDU, JUMAAT, 14 FebRUARI, 2014: Kerajaan sudah mengenal pasti 600 sekolah daif di seluruh negara yang perlu dibaik pulih bagi memberi keselesaan dan menjamin keselamatan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua sekolah tersebut dikenal pasti melalui audit fizikal yang dibuat dua tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, hasil audit itu mendapati kira-kira 600 daripada 10,200 buah sekolah yang dibina di seluruh negara sejak dahulu lagi berkeadaan daif.

"Jadi kita (Kementerian Pendidikan) akan memberi peruntukan pembangunan kepada sekolah yang dikategorikan daif dari segi infrastruktur untuk dibaik pulih dengan segera.

"Sebahagian besar sekolah terlibat terletak di Sabah dan Sarawak. Kita telah kenal pasti sekolah ini, cuma memerlukan masa untuk membaik pulih kerana peruntukan diperlukan untuk kerja pembaikan bukan sedikit iaitu minimum RM15 juta hingga RM20 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri Majlis Berambeh (Kenduri Rakyat) di Masjid Darul Taqwa di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.

Muhyiddin berkata, kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk pembangunan sekolah daif di seluruh negara pada tahun ini termasuk RM1 bilion bagi Sabah dan Sarawak.

"Jadi kita akan kenal pasti kategori sekolah yang perlu segera dibaik pulih kerana sebahagian daripada sekolah ini hampir roboh akibat hakisan sungai.

"Ada juga sekolah memang cukup daif dan kita bimbang dengan keselamatan pelajar yang berada di situ," katanya.

Beliau berkata, mungkin kerja-kerja pembaikan di semua 600 sekolah terbabit tidak dapat dilakukan dalam tahun ini tetapi peruntukan diterima itu akan dibawa ke tahun depan memandangkan pembinaannya mengambil sedikit masa.

"Pertama, kita perlu mencari tapak yang sesuai kerana mungkin tapak sedia ada tidak boleh digunakan lagi.

"Kalau telah disahkan boleh menggunakan tapak sekolah sedia ada dan dibangunkan semula, masalah kedua pula timbul iaitu penempatan pelajar di sekolah terbabit ke sekolah lain," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan syarikat swasta terlibat membantu membina asrama bagi sekolah terpencil di pedalaman dengan menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti yang dijalankan oleh Astro ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kesulitan pelajar di kampung terpencil terpaksa berjalan kaki berjam-jam untuk pergi ke sekolah.

Menurutnya, kerajaan tidak mampu menyediakan kemudahan asrama di sekolah terbabit dalam tempoh segera dan sumbangan pihak korporat amat dialu-alukan bagi menanggung kos pembinaan tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment