Najib: Waythamoorthy sepatutnya berunding sebelum letak jawatan
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Februari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy pada Isnin lepas.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, Waythamoorthy tidak berjumpa dan berunding dengannya terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
"Saya menghormati dan menerima keputusan beliau serta mengucapkan selamat berjaya dan mengharapkan yang terbaik untuk usaha beliau di masa hadapan.
"P. Waythamoorthy mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza, namun beliau sepatutnya berjumpa dan berunding dengan saya terlebih dahulu sebelum mengumumkan peletakan jawatannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Najib berkata, keputusan Pengerusi Hindraf itu untuk meletakkan jawatan setelah memeterai perjanjian persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) bagi memajukan lagi agenda masyarakat India, adalah mendukacitakan.
"Bagi menjayakan persefahaman ini, P. Waythamoorthy seharusnya menyesuaikan diri dalam sistem pentadbiran kerajaan dan menjalin kerjasama bagi mendapatkan konsensus untuk melaksanakan program kerajaan.
"Saya ingin menegaskan bahawa selaras dengan pendekatan saya membentuk kerajaan yang mudah didekati dan sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, kita akan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi kepada kaum India sebagaimana kita lakukan untuk kaum-kaum yang lain," kata Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) pada Isnin lepas, Setiausahanya, P. Ramesh berkata, Waythamoorty memutuskan untuk meletak jawatan kerana mendakwa kerajaan BN gagal mengotakan janji, biarpun menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lepas.
Waythamoorthy dilantik sebagai senator dan timbalan menteri selepas PRU-13.
Sebelum itu, Hindraf memeterai perjanjian persefahaman dengan kerajaan pada 18 April untuk berusaha menyelesaikan isu sosioekonomi melibatkan masyarakat India. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment