Pasar raya besar 55 tahun musnah dalam kebakaran
BUKIT MERTAJAM, SELASA, 04 Februari, 2014: Sebuah pasar raya yang beroperasi sejak 55 tahun lepas di Jalan Bunga Raya di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian pada kira-kira 5 pagi itu menyebabkan pasar raya itu, yang terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat itu, mengalami kerugian lebih RM1.5 juta.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Perai, Azmi Che Man berkata, tiga jentera dengan 26 anggota mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api sepenuhnya.
"Ketika jentera pertama tiba di tempat kejadian, api sedang marak. Pasar raya itu dipenuhi pelbagai barangan selain separuh daripada struktur bangunan diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Berikutan kejadian itu, katanya, semua peniaga di pasar awam di tingkat bawah bangunan itu mengosongkan presmis kerana bimbang ia runtuh memandangkan terdapat keretakan yang teruk.
Sementara itu, seorang peniaga berusia 50-an yang mahu dikenali sebagai Lim berkata ketika kejadian, beliau bersama beberapa peniaga lain di pasar awam sedang mengemas barang untuk memulakan perniagaan.
"Saya baru nak mula berniaga apabila ternampak asap dari tingkat atas, kami terus membawa barang perniagaan keluar dan menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment