My Add

Tuesday, 18 February 2014

Pengundi Kajang tolak dakyah pembangkang

KUALA LUMPUR, AHAD, 16 Februari, 2014: Para pengundi di Kajang tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang kononnya mahu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai pentas strategik menawan Putrajaya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana rakyat kawasan itu sedar pilihan raya tersebut cuba dipergunakan sebagai perisai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadapi kes-kes peribadinya.

''Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata pilihan raya itu adalah pentas strategik untuk ke Putrajaya tetapi sebenarnya yang tersirat ialah Kajang dijadikan pentas dan perisai bagi menghadapi kes-kes peribadi," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemantapan Jentera Penerangan UMNO Bahagian Subang di Dewan Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail.

Dalam pada itu Ahmad berkata, langkah PKR tidak merujuk terlebih dahulu dengan rakan sekutunya seperti Pas membuktikan PKR hanya mementingkan kepentingan ketuanya sahaja dalam membuat keputusan.

Justeru, beliau berkata, jentera Penerangan UMNO akan terus melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat tentang dakyah-dakyah yang disebarkan oleh pembangkang.

''Kita akan mengadakan ceramah-ceramah berkelompok di pusat daerah mengundi (PDM) untuk mendekati golongan sasaran.'' katanya.

Menurutnya, ceramah ini akan membilas dan membidas segala cemuhan parti pembangkang terhadap kerajaan.

''Jentera kita sentiasa bersiap sedia dan kini hanya menunggu pengumuman daripada pucuk pimpinan sama ada Barisan Nasional (BN) mahu meletakkan calon atau tidak di Kajang,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment