Proaktif kuatkuasa undang-undang lindungi pengguna
BANGI, ISNIN, 03 Februari, 2014: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kementerian dan agensi kerajaan lebih proaktif dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada bagi melindungi kepentingan pengguna.
Dalam usaha itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu memainkan peranan penting memastikan undang-undang yang melindungi pengguna dikuatkuasakan sepenuhnya.
Katanya, beliau kurang berpuas hati dengan sikap sebilangan besar peniaga yang masih ingkar arahan dan peraturan supaya melabel dan meletakkan tanda harga barang, yang menurutnya membebankan pengguna dalam memilih barang keperluan dengan harga berpatutan.
"Undang-undang sudah diwujudkan tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya. Jadi saya fikir selaras dengan gerakan kita untuk memantau harga dan menentukan pelanggan tidak ditipu oleh penjual, maka undang-undang ini mesti dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Tetapi mungkin nak bagi masa...persatuan dan dewan perniagaan menyatakan mereka perlukan masa. Selepas itu undang-undang yang ada akan dikuatkuasakan (sepenuhnya)," katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan mengejut harga barang di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment