Oleh HUSSAINI AMRAN
![]() |
* NAJIB Tun Razak menerima buku Pelan Tindakan Sekolah-Sekolah Tamil dari wakil pelajar sekolah-sekolah Tamil di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama P. Kamalanathan (dua dari kanan). - BERNAMA |
Perdana Menteri berkata, langkah itu diyakini boleh menjimatkan masa dan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang menggunakan peruntukan berkenaan.
Menurut beliau, pada masa ini, prestasi pelaksanaan projek khususnya daripada segi masa yang diambil adalah kurang memuaskan.
"Saya kurang gembira dengan tempoh masa yang diambil untuk melaksanakan projek-projek berkenaan. Tolong betulkan perkara ini.
"Saya hendak cadangkan kalau boleh, kalau kita hendak beri peruntukan, serah kepada pihak lembaga pengurus sekolah atau PIBG," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil di sini hari ini
Yang turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dan Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil, Prof. Datuk Dr. N. Rajendran.
Dalam majlis sama, Najib menerima Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil yang seterusnya akan dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.
Perdana Menteri menambah, keutamaan perlu diberikan kepada pihak yang boleh melaksanakan projek dengan kos paling efektif dan pantas.
"Bagi kepada sekolah laksanakan, jangan berebut hendak jadi kontraktor," ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan berusaha mengekalkan pemberian peruntukan tahunan berjumlah RM100 juta yang disalurkan kepada SJKT di seluruh negara.
Sementara itu, Najib mahu melihat tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid SJKT dipertingkatkan berbanding kadar kelulusan 70 peratus ketika ini.
"Kita hendak menguasai bahasa ibunda tetapi bila kita memasuki sekolah menengah, kita perlu mengikuti pelajaran dalam bahasa Melayu.
"Proses asimilasi antara kumpulan masyarakat yang berbeza juga akan menjadi lebih mudah kalau kita fasih dalam bahasa Melayu," jelasnya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk dikaji secara lebih mendalam.
Katanya, penyelarasan perlu dilakukan agar tidak berlaku percanggahan di antara pelan tersebut dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment