My Add

Tuesday, 4 February 2014

Samun van: Tiga lagi ditahan, RM118,000 ditemui

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Februari, 2014: Polis berjaya menahan tiga lagi lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan bakar van syarikat keselamatan di Jalan Sepakat, Ijok, Rabu lalu.

Dalam tangkapan di tiga lokasi berasingan di sekitar Shah Alam, Meru dan Sekinchan sejak malam semalam, turut dirampas bersama mereka adalah wang tunai bernilai RM118,000 dipercayai sebahagian wang yang dilarikan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, tangkapan ke atas tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an itu menjadikan jumlah tangkapan bagi kes tersebut kini enam orang.

"Semakan rekod lampau ke atas kesemua suspek mendapati ketiga-tiga mereka memiliki rekod jenayah sebelum ini.

"Kita juga sedang mengesan ahli kumpulan yang lain kerana percaya ramai lagi turut sama terlibat dalam kes ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, lima penjenayah melarikan sembilan beg berisi wang tunai berjumlah RM3.36 juta selepas membakar sebuah van syarikat keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit

Kumpulan penjenayah tersebut sebelum itu telah melarikan van berkenaan yang berhenti di sebuah Stesen Minyak Petronas di Ijok untuk memasukkan wang ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas merampas selaras pump-gun milik seorang daripada pengawal keselamatan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment