Sunday, 16 February 2014

Suruhanjaya Pilihan Raya adakan perbincangan dengan Pheu Thai

 * BEBERAPA penunjuk perasaan antikerajaan, menolak tayar yang digunakan sebagai sekatan jalan raya semasa bantahan berhampiran Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand, semalam. - AFP
BANGKOK, SABTU, 15 Februari, 2014: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (SPR) akan mengadakan perbincangan dengan parti pemerintah, Parti Pheu Thai bagi menyelesaikan isu pengundian dan kebuntuan politik pada Isnin ini.

Pesuruhjaya SPR, Somchai Srisuthiyakorn berkata, pemimpin parti itu bersetuju untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh tiga ahli akademik.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan memberi fokus kepada penyelesaian munasabah dan bukan dari segi teknikal undang-undang.

"Kami akan menggunakan pendekatan sains politik dan prinsip perundangan untuk mencari cara keluar daripada kebuntuan ini. Jika kami tidak dapat mencari penyelesaian, adalah sukar untuk kita melengkapkan proses pilihan raya.

"Kami sudah banyak berbincang mengenai pelbagai teori, kini kami mahukan penyelesaian. Jika ada pihak yang mengancam untuk mengemukakan saman terhadap SPR, kami akan meminta mereka meninggalkan mesyuarat itu,'' katanya.

Beliau berkata, SPR masih belum mengumumkan keputusan pilihan raya di kawasan pilihan raya yang tidak mempunyai sebarang isu kerana kiraan undi pengundian awal masih belum dilengkapkan.

"Kami juga bimbang parti politik akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR bagi mempersoalkan keputusan pilihan raya itu,'' katanya.

Somchai berkata, SPR akan menimbangkan keputusan mesyuarat itu sebelum membuat cadangan kepada kerajaan untuk mendapatkan dekri diraja bagi menetapkan tarikh pilihan raya di 28 kawasan yang tidak mempunyai calon ekoran proses pendaftaran calon dihalang oleh kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan baru-baru ini.

Pihak berkuasa Thailand semalam mengerahkan beribu-ribu anggota polis antirusuhan di ibu negara, sebagai usaha menguasai semula ibu pejabat kerajaan dan beberapa kawasan utama lain yang dijadikan kem bantahan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan.

Ketua Majlis Keselamatan Negara, Paradorn Pattanatabut berkata, pihaknya berunding dengan penunjuk perasaan sebelum mengarahkan pasukan keselamatan bertindak mengosongkan beberapa kawasan penting termasuk Rumah Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri, yang ditawan penunjuk perasaan. - AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment