My Add

Friday, 21 February 2014

Susun semula ekonomi dunia - Najib

Oleh Metra Syahril Mohamed
 
Add caption* Najib Tun Razak (kanan) bersama perwakilan Lembaga Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Lembaga IOSCO di Kuala Lumpur, malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan semua pihak yang berkepentingan supaya bersama menyusun semula ekonomi dunia bagi membentuk pertumbuhan lebih inklusif dan mapan, di sebalik berdepan pertumbuhan tidak seimbang.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu bertujuan bagi membolehkan lebih banyak peluang dihasilkan, selain menawarkan kemajuan dan kemakmuran yang lestari.

"Maknanya, tindakan tersebut membolehkan sesuatu pertumbuhan itu sejajar dengan keperluan modal insan, bukan sahaja (menumpukan kepada) keuntungan, (tetapi) ditambah standard kehidupan yang lebih baik. Ini satu cabaran bukan sahaja kepada negara-negara membangun tetapi negara maju.

"Untuk itu, sektor pasaran boleh dan perlu memainkan peranan dalam penyusunan semula ini. Sebagai pengupayaan kepada peruntukan modal dan sebagai platform utama dalam pembentukan serta pemindahan kekayaan, sektor pasaran ialah alat yang berkuasa untuk menggalakkan pertumbuhan yang mapan dan menyeluruh dalam ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena Mesyuarat Ahli Lembaga Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) di sini, malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga IOSCO, Greg Medcraft dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Ranjit Ajit Singh.

Najib memberitahu, untuk menjayakan misi itu khususnya tugas membina pasaran yang mapan, semua pihak berkepentingan iaitu pembuat dasar, pengawal selia dan industri perlu memainkan peranan masing-masing.

"Kita mesti berusaha mencapai keterangkuman dan kemapanan yang lebih besar dalam pasaran serta ekonomi. Memandangkan peranan penting mereka dalam memacu pertumbuhan, kita mesti terus untuk memudahkan akses kepada pembiayaan perniagaan.

"Pada masa sama, kita boleh menggalakkan kesaksamaan melalui penyelesaian inovatif dan berpatutan yang meluaskan akses kepada peluang bagi pelabur di pasaran modal," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihak berkepentingan terbabit, khususnya dalam sistem kewangan antarabangsa juga perlu lebih berwaspada selain bijak mengukur maklum balas masing-masing.

Malah jelasnya, dalam menilai kemunculan ekonomi maju dan baharu, mereka seharusnya berhati-hati membezakan antara risiko yang timbul daripada tekanan pasaran dan pihak yang lebih bersifat berstruktur. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment