Sunday, 23 February 2014

Zambry kesal Pas guna isu Kassim Ahmad

 
LUMUT, SABTU, 22 Februari, 2014: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) kesal dengan tindakan Pas yang tetap menghentam UMNO walaupun dalam soal akidah apabila menuduh parti itu tidak bertindak terhadap karyawan dan aktivis sosial, Kassim Ahmad yang didakwa cuba membawa ajaran terpesong daripada Islam.

Hakikatnya, kata beliau, UMNO turut mengambil pendirian mengutuk serta menolak fahaman Kassim kerana kefahaman yang dibawanya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Menurutnya, perkara yang berkait soal akidah bukanlah isu politik dan Pas tidak sepatutnya mengeksploit isu itu untuk dijadikan bahan menghentam UMNO.

"Ini adalah soal akidah umat Islam. Apabila dia (Kassim Ahmad) mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, mana mungkin kita boleh menerimanya.

"Nabi Muhammad adalah orang yang membawa Islam, sekiranya kita tidak mengiktiraf Nabi Muhammad, bermakna kita bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Profesor Bersama Komuniti di Sekolah Menengah Datuk Ishak Teluk Muroh, di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment