Sunday, 23 February 2014

Waythamoorthy seorang yang gagal - Nazri

PADANG RENGAS, SABTU, 22 Februari, 2014: Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy disifatkan sebagai seorang yang gagal dan tidak faham dengan sistem pentadbiran kerajaan dalam memberi bantuan kepada masyarakat India.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menempelak tindakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan kerana mendakwa gagal membela nasib masyarakat India.

Mohamed Nazri turut mendedahkan bahawa beliau tidak pernah lihat Waythamoorthy turun padang mendekati masyarakat India sepanjang berada di dalam Kabinet.

"Beliau mahu letak jawatan, itu beliau punya pasal, kenapa mahu sibuk suruh Perdana Menteri letak jawatan pula? Sebenarnya beliau yang gagal dan tidak faham mengenai dasar kerajaan menyampaikan bantuan kepada masyarakat India adalah menerusi kementerian supaya boleh disalurkan secara spesifik.

"Mana boleh mahu letak bajet RM700 juta dalam satu akaun di bawah kendalian beliau, kita tidak amal sistem seperti itu. Beliau ini kalau ikut pepatah Melayu sama dengan ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan’," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan jambatan Kampung Chuar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta Ahli Dewan Undangan Negeri Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment