Wednesday, 26 March 2014

Keluarga kru dan penumpang MH370 keutamaan MAS - Ahmad Jauhari

SEPANG, selasa, 25 Mac, 2014: Wartawan luar negara, South China Post yang hadir pada sidang akhbar hari ini bertanya, apakah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya akan melepaskan jawatannya berikutan insiden yang menimpa pesawat MH370.

Ahmad Jauhari yang tenang mendengar soalan daripada wartawan luar negara berkenaan berkata, soal sama ada beliau meletakkan jawatan atau tidak, tidak akan dijawabnya hari ini.

"Soalan ini saya sifatkan sebagai soalan peribadi. Saya tidak akan menjawabnya di sidang akhbar hari ini," katanya.

Beliau berkata, hari ini beliau berdiri di hadapan para media bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebaliknya sebagai seorang ayah, abang dan anak kepada keluarga penumpang dan 13 anak kapal MH370 yang destinasinya berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila menerima khabar yang amat menyedihkan ini malam tadi.

"Apa pun pihak kami ingin menegaskan bahawa berita dukacita ini disampaikan kepada lebih 1,000 ahli keluarga bukan menerusi media atau khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaliknya kami, MAS sendiri yang memaklumkan berita sedih ini," ujarnya.

Katanya, pihak MAS akan terus menanggung makan minum, penginapan dan pengangkutan kepada lima keluarga penumpang dan bantuan kewangan sebanyak AS$5,000 diberikan kepada waris atau keluarga 239 penumpang yang berada dalam pesawat MH370.

"Memang bukan wang yang dapat menggantikan kehilangan nyawa orang yang disayang tetapi itu turut diambilkira oleh pihak MAS selain bantuan kaunseling dan sebagainya" katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment