Saturday, 22 March 2014

MH370: Malaysia tidak berputus asa cari pesawat hilang

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan RODELIO JUNJUN TAUCAN

SEPANG, SABTU, 22 Mac, 2014: Malaysia tidak akan berputus asa dalam usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 meskipun tiada perkembangan terbaharu mengenainya termasuk usaha mencari serpihan di Lautan Hindi yang dikatakan ada kaitan dengan kehilangan pesawat itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehingga kini, usaha tersebut terus giat dijalankan dengan menggunakan peralatan canggih dan yang terkini United Kingdom turut menawarkan bantuan kepakaran bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, Malaysia turut menambah bilangan pesawat dan helikopter untuk mencari serpihan tersebut di lokasi yang disifatkannya sebagai sangat luas dan sukar dijangka.

"Saya tidak katakan saya kecewa, cuma agak sedih sebab kami tidak mendapat maklumat terbaharu tetapi seperti saya tegaskan kita tidak akan berputus asa malah sekarang kita menerima lebih banyak aset canggih termasuk kapal daripada pelbagai negara.

"Saya begitu optimistik melalui penglibatan semua negara dalam usaha mencari MH370 melalui koordinasi yang baik, ia sekali gus memberi kekuatan kepada Malaysia untuk meneruskannya," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Hotel Sama-Sama di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment