MH370: Pemimpin Hamas utus ucapan takziah kepada Najib
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Pemimpin Hamas Khaled Meshaal mengutuskan capan takziah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang disahkan hilang di selatan Lautan Hindi selepas 17 hari operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai negara dijalankan.
Menurut Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), yang memetik laporan Pusat Penerangan Palestin, pengerusi biro politik Hamas itu menelefon Najib pada Rabu petang untuk menyampaikan ucapan takziah beliau.
Dalam perbualan telefon itu, Meshaal turut menyuarakan setiakawan penduduk Palestin kepada keluarga yang sedang berkabung dan menyampaikan takziah mereka kepada rakyat Malaysia yang menurutnya sentiasa menyokong penduduk Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan.
Beliau turut memuji usaha keras kerajaan Malaysia dalam mencari pesawat itu yang lenyap daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment