My Add

Sunday, 27 April 2014

Arab Saudi catat 14 lagi kes MERS

KUWAIT, SABTU, 26 April, 2014: Arab Saudi semalam melaporkan sebanyak 14 lagi kes Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) dikesan di negara ini, meningkatkan jumlah kes tersebut setakat ini kepada 313.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan melaporkan, kes terbaharu itu dilaporkan berlaku di Riyadh, Jeddah dan Mekah dalam tempoh 24 jam lalu.

"Sebanyak lima kematian ekoran jangkitan penyakit tersebut turut dilaporkan," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kementerian itu, angka terbaharu tersebut menyaksikan jumlah kematian akibat jangkitan MERS-CoV meningkat kepada 92 orang di Arab Saudi.

Peningkatan kes tersebut menimbulkan kebimbangan ekoran jumlah orang mengerjakan umrah akan meningkat mulai Julai ini ketika penduduk Islam mula berpuasa pada bulan Ramadan.

Bilangan jemaah juga bakal bertambah mendadak pada awal Oktober ini apabila berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia membanjiri Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah haji.

Arab Saudi menyaksikan peningkatan jumlah jangkitan kes itu sejak beberapa minggu ini, dengan kebanyakannya dilaporkan di Jeddah, bandar kedua terbesar di negara ini.

Kebanyakan pesakit merupakan pekerja dalam sektor kesihatan.

MERS-CoV muncul di Asia Barat pada 2012 dan berasal dari keluarga sama dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). - REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment