Guna kad Touch n Go beli barangan di R&R Tapah dan Seremban
TAPAH, SELASA, 01 April, 2014: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan kini boleh menggunakan kad Touch n Go untuk membeli barangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah dan Seremban.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch n Go Sdn Bhd (TNGSB) Abdul Karim Md Lassim berkata penggunaan kad berkenaan telah dilaksanakan di R&R Tapah pada 10 Jan lepas diikuti Seremban pada 17 Feb lepas.
"Kad Touch n Go ini telah melalui evolusi kepada kad pelbagai guna bagi pembayaran elektronik dan tidak hanya terhad sebagai pembayaran tambang pengangkutan awam dan parkir.
Kad ini kini boleh digunakan sebagai alternatif wang tunai bagi pembelian makanan, minuman dan barangan di R&R Tapah dan Seremban sekaligus memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya di Semenanjung Malaysia, katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pembayaran Elektronik Touch n Go di Kawasan R&R Tapah oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ismail Md Salleh, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata sistem ini akan diperkenalkan di kawasan R&R yang lain di seluruh Semenanjung Malaysia jika mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Katanya kaedah pembayaran elektronik di R&R merupakan satu lagi pembangunan perniagaan yang dijalankan oleh TNGSB dengan sokongan PLUS Malaysia Berhad dan Bank Negara Malaysia untuk menambahbaik sistem pembayaran di negara ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment