Monday, 28 April 2014

Hari Terbuka klia2 sehari sahaja
KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Hari Terbuka klia2 adalah acara untuk sehari sahaja walaupun mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports dalam satu kenyataan hari ini berkata, kira-kira 78,000 pengunjung datang pada Hari Terbuka yang diadakan semalam, lebih tiga kali ganda daripada unjuran awalnya seramai 20,000 orang.

Bilangan pengunjung mencecah angka 20,000 orang sebelum tengah hari lagi, dengan orang ramai membanjiri tanpa henti seawal 8 pagi, sejam sebelum kaunter pendaftaran dibuka, kata syarikat itu.

Malaysia Airports berkata, masa lawatan Hari Terbuka klia2 dilanjutkan sehingga pukul 7 malam bagi menyediakan lebih banyak masa kepada pengunjung menyertai program itu kerana orang masih ramai walaupun sehingga lewat petang.

Terminal klia2 akan ditutup bagi tujuan pembersihan dan persediaan akhir dari sekarang sehingga terminal itu memulakan operasi secara rasmi pada 2 Mei, Jumaat ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment