My Add
Monday, 28 April 2014
Henti tohmah kapal selam TLDM - Panglima TLDM
LUMUT, AHAD, 27 April, 2014: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengingatkan segelintir pihak yang sentiasa melempar tohmahan kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam supaya berfikir secara rasional.
Panglimanya, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, meskipun pihaknya telah menjawab dan menafikan dakwaan berkenaan, namun isu itu terus dibangkitkan sehingga ke hari ini.
Katanya, sebagai Panglima Tentera Laut, beliau berasa amat kecewa memandangkan dakwaan itu adalah tidak benar, lebih-lebih lagi warga kapal selam berkenaan telah berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
"Tidak faham kenapa wujud segelintir pihak yang masih mahu membuat tuduhan seumpama itu, sedangkan kami telah pun menjawab serta menafikan dakwaan tersebut. Untuk pengetahuan, kapal selam berkenaan adalah antara kapal selam bermisil yang terbaik di dunia.
"Panglima Tentera Laut Perancis juga memuji kapal selam tersebut dan kesemua anak kapalnya. Beliau memberitahu secara bertulis bahawa sekiranya diberikan peluang, beliau mahu mengambil dua pertiga daripada keseluruhan krew kapal berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Panji-Panji KD Duyong dan KD Sri Semporna serta Mengarak Panji-Panji KD Pelandok, KD Malaya, KD Panglima Hitam dan KD Rajawali di Pangkalan TLDM di sini hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM berkenan mencemar duli menyempurnakan istiadat berkenaan.
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra turut berangkat ke istiadat itu.
Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz turut memberitahu, tujuan TLDM mempamerkan KD Tunku Abdul Rahman pada sambutan ulang tahun ke-80 kali ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri aset negara itu.
"Kami bawa kapal selam itu dari Sabah ke pangkalan ini dan sepanjang pelayarannya ke sini, kapal itu turut melakukan penyelaman," jelas beliau.
Menyentuh mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Abdul Aziz memberitahu aset-aset TLDM sentiasa dalam keadaan siap-siaga bagi menjayakan misi berkenaan.
Katanya, Kementerian Pertahanan akan mengumumkan mengenai penambahan aset khususnya kapal yang bakal terlibat dalam usaha tersebut. - UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment