Monday, 28 April 2014

Kawasan penemuan fosil dinosaur jadi taman tema

 KUANTAN, ISNIN, 28 April, 2014: Kerajaan Pahang akan memajukan kawasan penemuan fosil dinosaur spinosauridae oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama penyelidik Universiti Waseda, Tokyo, Jepun sebagai taman tema apabila kajian dilakukan kumpulan itu selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri hari ini berkata, konsep taman tema itu akan ditentukan kelak bagi memastikan kesesuaiannya untuk menjadi daya penarik terbaharu sektor pelancongan di negeri ini.

"Buat masa sekarang, kajian masih dilakukan kumpulan penyelidik itu dengan kerjasama pakar paleontologis. Kajian ini sudah pasti akan mengambil masa dan kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama kepada mereka.

"Walaupun sudah ada pengesahan bagi penemuan dilakukan kumpulan berkenaan, namun kita kena faham bahawa setiap penemuan yang dibuat memerlukan pengesahan termasuk bukti DNA yang pastinya mengambil masa," katanya. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment