Monday, 28 April 2014

Lawatan Obama tidak pengaruhi TPPA

MUAR, AHAD, 27 April, 2014: Kerajaan tidak akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hanya kerana lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke negara ini yang berakhir esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, kedatangan Obama tidak ada kena mengena dengan TPPA dan dibuktikan dalam jadual lawatannya selama tiga hari di negara ini.

"Rakyat tidak akan bersetuju TPPA ditandatangani hanya kerana Obama melawat Malaysia, kerajaan sudah berunding tentang TPPA sejak empat tahun lalu. Rundingan ini mengambil kira kesannya kepada rakyat dan bukan kerana Obama.

"Seperti juga Jepun yang menerima lawatan Obama, mereka juga tidak menandatangani TPPA hanya kerana Obama melawat negara mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Sumber Diabetes Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Izam Suleiman; Pengarah HPSF, Dr. Selahuddin Abd. Aziz; Ketua Jabatan Perubatan HPSF, Dr. Ibrahim Ahmad dan Penyelaras Pusat Informasi Diabetes HPSF, Dr. Ho Kim Wah.

Beliau mengulas kenya-taan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ketika berceramah sempena Karnival Ulang Tahun Pas Johor di sini 4 April lalu, yang mendakwa lawatan Obama itu akan mempengaruhi kerajaan untuk menandatangani TPPA yang seterusnya menjadi satu bentuk penjajahan baharu Barat selain merugikan rakyat negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment