Pertingkat kerjasama ekonomi politik
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 April, 2014: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke negara ini bukan sahaja menunjukkan sokongan kuat kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah sebagai peringatan kepada China agar tidak keterlaluan dalam membuat tuntutan terhadap sebahagian besar kawasan Laut China Selatan.
Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kehadiran kuasa dunia tersebut bagi menjalinkan hubungan lebih erat dengan Malaysia sekali gus memperlihatkan penolakan terhadap tuntutan China mengisytiharkan sebahagian besar Laut China Selatan sebagai milik negara berkenaan.
Tuntutan tersebut hakikatnya, kata beliau, bercanggah dengan tuntutan lima negara lain iaitu Taiwan, Vietnam, Filipina, Brunei dan juga Malaysia.
"Ketua-ketua pemimpin beberapa negara sebelum ini juga dengan tegas mengatakan pemilikan kawasan-kawasan tuntutan perlu berdasarkan undang-undang antarabangsa dan China tidak dibenarkan membuat tuntutan keseluruhan kawasan Laut China Selatan sebagai miliknya sekali gus menafikan hak negara lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Zainal, buat masa ini Beijing sedang giat memperkukuhkan armada tentera laut yang memperlihatkan hasrat sebenar mereka untuk memiliki sebahagian besar wilayah pertikaian tersebut.
Dalam pada itu, tambah beliau, kehadiran Presiden AS turut menafikan dakwaan wujud hubungan baik dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menggunakan kuasa besar dalam memperkuatkan pengaruh politiknya.
"Kehadiran Obama langkah mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS serta memberi sokongan padu kepada negara dalam menghadapi krisis kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu selain menepis cakap besar Anwar yang mampu menyelesaikan isu kehilangan pesawat berkenaan dalam tempoh satu saat.
"Obama tidak bercadang untuk menemui Anwar sepanjang lawatannya ke Malaysia sekali gus membawa harapan dan kepercayaan serta pengiktirafan terhadap dasar pembangunan diusahakan Najib sejak memegang jawatan terpenting dalam negara," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan melihat kehadiran Obama dapat mempertingkatkan peluang pelaburan Malaysia terutama dalam sektor-sektor berteknologi tinggi, pendidikan, kegiatan nilai tambah dan yang berasaskan pengetahuan.
"Peluang yang begitu besar untuk melihat lebih banyak pelaburan memasuki ekonomi negara dalam pelbagai sektor. Kesediaan Obama ke sini bukan sahaja membuka peluang kepada pelabur di AS sebaliknya seluruh dunia. Kehadiran beliau juga membawa keyakinan terhadap kekukuhan ekonomi negara di mata dunia.
"Bukan itu sahaja, peluang pelajar asing menuntut di negara ini juga terbuka lebih luas. Peluang ini jelas membuktikan kepercayaan negara luar terhadap sistem pendidikan negara dan dalam masa sama, akan meningkatkan pendapatan negara dalam sektor pendidikan," jelasnya.
Ujar beliau, peluang baik ini perlu dimanfaatkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mempromosikan budaya berbilang kaum di seluruh dunia.
"Kelebihan ini perlu diperluaskan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Kita sudah kaya dengan etnik dan budaya yang dikira menjadi tarikan utama serta keistimewaan negara," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment