My Add

Wednesday, 2 April 2014

Lawatan rasmi pertama Najib ke Vietnam esok

Daripada RAMLI ABDUL KARIM

 AZMIL ZABIDI... Duta Malaysia ke Vietnam
HANOI, RABU, 02 April, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam bermula esok, dengan tumpuan kepada meningkatkan hubungan dua hala dan perdagangan kedua-dua negara.

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2009 dan kunjungan kedua setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di sini pada 2010.

Kunjungan ini dilihat sangat signifikan terutama apabila Vietnam memberi kerjasama penuh dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dan pada awalnya melibatkan kawasan pencarian di perairan negara ini di Laut China Selatan.

Kerajaan kerajaan Vietnam dan pasukan tenteranya melakukan tugas besar mengerahkan pesawat dan kapal tentera lautnya untuk membantu mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Azmil Zabidi berkata, pada Jumaat, Perdana Menteri akan diberi sambutan rasmi di Istana Presiden di sini sebelum beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Nguyen Tan Dung di Pejabat Perdana Menteri Vietnam.

Menurutnya, Najib akan melawat dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Annur di sini sebelum ke kawasan perumahan dan perbandaran baharu Gamuda City di sini untuk merasmikan projek bernilai AS$3 bilion (RM9.8 bilion) itu yang dimajukan Gamuda Berhad dari Malaysia.

"Perdana Menteri kemudian akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Truong Tan Sang di Istana Presiden di sini dan sejurus itu dijadualkan mengunjungi Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE. 

No comments:

Post a Comment