My Add

Monday, 28 April 2014

Masuk AS tanpa perlu mohon visa

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

 * AHMAD Zahid Hamidi dan Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (berdiri, tengah) bergambar bersama Johan Anugerah Perdana Belia Negara 2014 di Bukit Changgang, Sepang, Selangor semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
SEPANG, AHAD, 27 April, 2014: Rakyat negara ini mempunyai peluang yang cerah untuk tidak memerlukan visa memasuki Amerika Syarikat (AS) setelah negara itu setuju memberikan kelonggaran berbuat demikian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan perkara itu telah dipersetujui dalam pertemuan dua hala di antara Presiden AS, Barack Obama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini.

"Persetujuan telah dicapai dari segi prinsipnya untuk mengizinkan rakyat Malaysia masuk ke AS tanpa visa. Rundingan sedang dijalankan bagi tujuan tersebut.

"Kemasukan itu bagaimanapun bertahap dengan dimulakan dengan kemasukan pada peringkat pegawai terlebih dahulu, kemudiannya untuk perniagaan dan dibuka kepada rakyat," katanya.

Beliau mengulas mesyuarat pertemuan dua hala Obama dengan Perdana Menteri dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Mesra Belia Jom ke Putrajaya Peringat Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, elemen keselamatan pada pasport Malaysia perlu diseragamkan dengan pasport AS antaranya melibatkan kod bar, sistem biometrik dan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) untuk tujuan tersebut.

"Pasport kita juga akan punyai APSS di mana syarat ini bukan luar biasa kerana Jabatan Imigresen (JIM) sedang menjalankan proses menaik taraf.

"Ini memberi kelebihan kepada kita, sebelum ini kena tunggu dalam masa sebulan hingga tiga bulan kerana menghadapi masalah pemeriksaan yang ketat untuk masuk ke AS," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, AS juga bersetuju untuk mempertingkat kerjasama dalam pertukaran maklumat risikan dengan melatih lebih ramai pegawai dan anggota polis untuk tujuan tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan Pasukan Keselamatan Belia dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu diambil untuk mencegah daripada berlakunya kejadian jenayah di kalangan golongan belia.

"Langkah itu penting memandangkan kes jenayah melibatkan golongan yang berumur dari 7 hingga 18 tahun meningkat sebanyak 132 peratus pada tahun lalu.

"Kita sasarkan sebanyak 200 belia bagi setiap kawasan Parlimen akan menyertai pasukan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment