Monday, 28 April 2014

MCA putuskan hal PRK Bukit Gelugor pada Selasa ini

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Majlis Presiden MCA akan bermesyuarat pada hari esok untuk membuat keputusan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

Timbalan Presiden parti, Datuk Wee Ka Siong berkata, mereka akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden esok untuk membincangkan perkara ini.

"Sama ada kami bertanding atau tidak, ia dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Ka Siong menjelaskan sehingga kini, parti itu belum lagi membuat apa-apa keputusan mengenainya meskipun beberapa pemimpin parti telah menyuarakan pendapat mereka menerusi media.

"Itu hanyalah pandangan peribadi mereka (untuk bertanding). Parti belum membuat apa-apa keputusan. Maka kerana itulah kami bermesyuarat pada pukul 11 pagi esok untuk membincangkannya," ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Mei sebagai hari pengundian pilihan raya kecil Bukit Gelugor, berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.

Hari penamaan calon adalah pada 12 Mei manakala hari pengundian awal pada 21 Mei.

Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi Parlimen itu dalam pilihan raya umum lepas dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi.

Karpal Singh, 74, merupakan Anggota Parlimen Bukit Gelugor sejak 2004. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment