Monday, 28 April 2014

Tiga pelajar UIAM kritikal akibat kemalangan bas kini stabil

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Tiga pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang parah dan kritikal akibat kemalangan bas semalam, kini dilaporkan stabil.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga pelajar itu sudah dipindahkan ke wad biasa manakala semua mangsa yang cedera ringan dibenarkan keluar dari wad.

Abdul Latif berkata, pemandu bas terlibat juga dilaporkan sihat serta bebas daripada sebarang pengambilan dadah dan alkohol.

"Pemandu terbabit disahkan negatif dalam saringan air kencing dan alkohol serta disahkan sihat. Dakwaan orang ramai bahawa beliau tidak sihat adalah tidak benar," ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian, pemandu itu juga didapati tidak mengantuk atau pitam seperti yang didakwa.

"Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu cuba mengelak sebuah kereta yang menukar laluan secara mengejut sebelum terbabas ke tapak pembesaran jalan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, tiga pelajar UIAM dilaporkan kritikal selepas bas universiti yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam ke tempat takungan air sebuah tapak pembesaran jalan di Kilometer 25.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini.

Lima pelajar lagi dilaporkan parah manakala 23 yang lain termasuk pemandu bas hanya mengalami cedera ringan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment