Mencari MH370: Agong sampaikan terima kasih Malaysia kepada Obama
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 April, 2014: Ketika usaha mencari pesawat udara Malaysia yang hilang sedang diteruskan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Amerika kerana terus memberi sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi itu.
Pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Amerika Barack Obama malam ini, baginda bertitah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu melibatkan penumpang pelbagai negara, termasuk Malaysia dan Amerika.
Seri Paduka bertitah bantuan yang dihulurkan Amerika itu menjadi bukti wujudnya hubungan rapat antara kedua-dua negara.
"Sesungguhnya, penglibatan saudara sejak peringkat awal misi mencari dan menyelamat itu dan operasi pencarian yang dilakukan ketika ini mencerminkan komitmen kukuh yang wujud antara kedua-dua negara kita," titah baginda.
Obama, presiden Amerika pertama berkunjung ke Malaysia sejak hampir 50 tahun lepas, melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia dalam rangka penjelajahan beliau ke empat negara Asia, selepas Jepun dan Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Mereka termasuk rakyat Amerika. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment